*Artikel ini merupakan sambungan dari artikel Mat Indera: Peribadi Seorang Gerila Komunis Melayu
Oleh: Iltizam Iman
“Kekejaman, kebengisan, kedurjanaan, kezaliman fasis Jepun tiada siapa yang tidak kenal dan tidak perlu dituliskan pemerintahan tangan besi Firaun kurun ke-20. Gerakan kebangsaan diharamkan sama sekali oleh Jepun. Maka ahli-ahli kebangsaan Melayu kiri telah mengambil langkah Musa dalam istana Firaun. Ada yang tinggal di dalam, ada yang tinggal di luar mengambil bahagian di hutan rimba menjadi anti fasis ada yang menjalankan gerakan rayap semut putih, harimau dan sebagainya… ada pula yang menyertai Bintang Tiga, Communist Party, Anti-Facist dan lain-lain… kesedaran dan kemarahan kebangsaan Melayu semakin berbangkit dengan sebab pekerja Jepun menyerahkan empat buah negeri Melayu kepada Thai.”
– Dr. Burhanuddin al-Helmy
Kuasa Buruh
Walaupun Mat Indera membesar dengan ilmu-ilmu agama dan kebatinan, beliau juga sentiasa mengikuti perkembangan politik melalui akhbar tempatan seperti Warta Malaya dan Utusan Melayu. Beliau banyak membaca artikel-artikel yang ditulis oleh pejuang kemerdekaan seperti Ibrahim Yaakub dan Ishak Hj. Muhammad. Beliau dikenali oleh kawan-kawannya sebagai seorang yang gemar membaca surat khabar dan buku.
Pembacaan yang luas banyak membuka pemikirannya dalam memikirkan nasib bangsanya. Semangat perjuangannya juga telah tampak menyerlah ketika di bangku sekolah lagi. Semenjak kecil, beliau telah memasang cita-cita untuk menjadi Panglima Agong. Bakat kepimpinan beliau juga telah menyerlah ketika itu, menyebabkan beliau sering dipilih untuk menjadi ketua kelas.
Ketika menjadi penjual beras, beliau sudah mula terlibat dengan kesatuan buruh di Muar. Di situlah beliau membangunkan potensi kepimpinannya. Beberapa tahun kemudian setelah British kembali ke Tanah Melayu, beliau dinaikkan pangkat sebagai ketua pengangkut beras di Pelabuhan Muar, Johor.
Dalam Kesatuan Buruh
Sekitar 1947, Mat Indera telah menyusun kesatuan buruh bagi memastikan kebajikan dan hak para pekerja diperjuangkan. Beliau dilantik sebagai Yang Di Pertua Pertama bagi Kesatuan Buruh Melayu, Lembaga Pelabuhan Muar (Malay Harbour Board Labourers Union). Beliau juga dipilih menjadi pegawai Hal Ehwal Umum bagi Johor Federation of the Trade Unions. Kesatuan ini memiliki anasir komunis.
Luas pengaruhnya melewati pekerja penambang dan pekerja-pekerja Melayu yang lain, tidak hanya terhad kepada pengangkut beras. Beliau juga memiliki pengaruh yang kuat di dalam kesatuan sekerja Jabatan Kerja Raya Daerah Muar. Pejabat kesatuan buruh yang dipimpin beliau berada di tingkat dua salah sebuah bangunan di Jalan Maharani.
Ketika itu keadaan politik sangat kritikal, masa terlalu suntuk, masyarakat sedang memerlukan pemimpin. Dia sedar, ketika itu dia perlu mengendurkan hubungan antara golongan pemodal dengan penguasa bangsawan agar cengkaman penjajah berkurangan. Melalui kesatuan buruh, beliau bergerak memberi tekanan ke atas majikan.
________________________________________________ SIRI TOKOH NUSANTARA: 1. Jose Rizal & Pemikirannya Perihal Masyarakat Filipina 2. HOS Tjokroaminoto: Guru Bangsa Nusantara 3. Tan Malaka: Perubahan Sosial Dalam Aksi Massa _____________________________
Mereka cuba melumpuhkan ekonomi Inggeris dengan mogok, tunjuk perasaan, memorandum dan tuntutan. Kerana dengan melumpuhkan ekonomi Tanah Melayu, mereka akan dapat mengusir Inggeris keluar dari tanah jajahannya. Ia adalah satu usaha dalam menghentikan penjajahan dan penjarahan sumber daya alam Tanah Melayu yang subur dan kaya raya.
Dalam PKMM
Perjalanan beliau dalam politik tanah air secara langsung bermula apabila beliau menyertai sayap pemuda Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Ketika itu PKMM bergerak di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin al-Helmy dan Pak Sako (Ishak Haji Muhammad).
Cawangan PKMM Muar ditubuhkan pada 1946, diasaskan oleh Ghani Hashim, Yusof Jantan, Alwi, Majid Salleh dan Mat Indera sendiri. Dalam catatan Abdullah C.D., Mat Indera dilantik sebagai Setiausaha PKMM Johor bersama Majid Salleh.
Angkatan Pemuda Insaf (API)
Berbekalkan semangat dan matlamat untuk memerdekakan tanah air dari sebarang bentuk penjajahan, beliau aktif dalam pergerakan Angkatan Pemuda Insaf (API). Di bawah Ahmad Boestamam, beliau dilantik sebagai Setiausaha API Muar.
Ahmad Boestamam, individu bertanggungjawab yang menubuhkan API, telah terlebih dahulu menerima latihan ketenteraan dari kerajaan Jepun yang dipanggil ‘Gyu-Tai’. Disebabkan itu, pergerakan API di bawah beliau amat dipengaruhi oleh disiplin-disiplin tentera. Ketika itu, Mat Indera mengambil tanggungjawab secara sukarela untuk menjadi guru kepada anggota-anggota pemuda Melayu API.
Hasil persetujuan Kongres Kedua PKMM di Melaka, API akan dipisahkan dari PKMM agar API dapat menjalankan aktiviti mereka secara bebas bagi mengembangkan sayap perjuangan mereka. Kemudian, beliau dipertanggungjawabkan untuk mengetuai API Daerah Muar pada 1946.
Pemimpin yang Progresif
Di bawah pimpinan Mat Indera, sebuah pergerakan anak muda yang progresif dan revolusioner berjaya dibentuk. Anggota API dilatih untuk memiliki disiplin yang ketat. Kelas-kelas agama dijalankan bersama teman-temannya. Abdul Kadir Mar’ie mengajarkan bahasa Arab. Manakala Parjo, yang berasal dari Tanah Jawa, mengajarkan tentang sistem perbankan.
Selain itu, kelas-kelas ilmu politik, pengurusan dan ekonomi juga dipersiapkan di dalam diri setiap anggota.
Semangat Merdeka
Setiap kali solat Jumaat, mereka akan bergerak dalam satu barisan berarak menuju Masjid Jamek Bandar Muar. Selalunya, Mustafa Bin Muhamad Yasin, anak kepada guru Mat Indera, akan mengetuai perbarisan. Dalam perbarisan itu mereka akan menyanyikan lagu “Bendera Kita”, sebagai satu dorongan dan rangsangan semangat kesatuan dan perjuangan.
“Kibar-kibar sama bendera kita,
Bulan dan bintang juga yang nyata,
Sinaran rata di muka dunia,
Lipatan tarikh tak mudah dialpa,
Kibarkanlah, kibarkanlah, kibarkanlah,
Bendera Islam,
Supaya dikenal seluruh alam.
Setiap kali hendak keluar melalui perjalanan yang jauh pula, dalam perbarisan mereka menyanyikan lagu “Jalan Ke Hadapan”
“Jalan ke Hadapan,
Berlenggang-lenggang tangan,
Bersatu langkah kaki bersaing-saingan,
Tunjukkan diri masing-masing sama tara,
Cergas tetap jalan kita jangan berhenti,
Hujan dan panas jangan-jangan kita peduli,
Cergas tetap jalan kita jangan peduli,
Macam pahlawan berani.”
Ada masanya mereka akan dendangkan pula “Darah Rakyat”
“Darah rakyat masih berjalan,
Menderita sakit dan miskin,
Peperangan akan datang,
Kita yang menjadi hakim, 2x
Ayuh-ayuh bergerak sekarang,
Keamanan telah datang,
Serahlah panji-panji kita,
Merah warna darah rakyat.
Lebih Radikal Dari PKM
API di bawah pimpinannya telah membentuk satu kumpulan anak muda yang berdikari dan bebas dari kebergantungan. Mereka berjaya bergerak sebagai perkumpulan manusia merdeka. Ini menjelaskan, bahawa pergerakan API sebenarnya jauh lebih berbahaya daripada PKM. Ketika PKM perlu bekerjasama dengan Inggeris untuk melawan Jepun, API memilih untuk menentang Inggeris.
Sememangnya, API tidak berkompromi dengan pihak penjajah.
Barisan Tani Malaya (BATAS)
Pada Julai 1947, Barisan Tani Malaya (BATAS) ditubuhkan di Kajang dan dirasmikan oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy. Mat Indera dilantik sebagai wakil BATAS bagi peringkat negeri Johor dan Musa Ahmad menjadi Ketua BATAS Pusat.
Menyertai Parti Komunis Malaya
Apabila pihak British mengisytiharkan haram semua pergerakan kiri seperti PKMM, API, BATAS, AWAS, PETA, PKM dan lain-lain pada 19 Jun 1948, pemuda-pemudi yang memiliki semangat anti-penjajah tidak memiliki banyak pilihan. Samada bersama UMNO, yang memiliki hubungan baik dengan Inggeris, atau menyertai PKM sebagai langkah perlawanan terhadap Inggeris. Maka, Mat Indera memilih jalan keras melalui PKM untuk membebaskan Tanah Melayu dari Inggeris.
Pada 26 Jun 1948, Mat Indera menerima sepucuk surat daripada JH. Jasman. Surat itu menjemput beliau untuk menerangkan lebih lanjut perjuangan PKM. Kemudian, Mat Indera mengajak Syed Abdul Kadir Mar’ie, Hashim Kaimi (Kimi), Yatim, Sanip bin Jasmani dan Rosman bin Munaji untuk ikut bersama. Ketika itu, Mat Indera telah pun dikenali sebagai seorang pemimpin buruh yang berkomitmen tinggi.
Hilangnya Mat Indera
Setelah mendengar dan memahami gerak kerja dan perjuangan komunis, berkemungkinan Mat Indera mengambil masa untuk mempertimbangkannya. Menurut nenek Mat Indera, beberapa hari sebelum beliau menghilangkan diri, beliau dilihat banyak mendiamkan diri. Ketika itu ada juga beliau menyatakan mahu mencari kerja di Singapura.
Pada awal pemergiannya, keluarga beliau menyangka beliau telah menjadi mangsa serangan komunis memandangkan banyak serangan komunis berlaku ketika itu. Keluarganya hanya mengetahui penglibatan Mat Indera ke dalam gerila melalui surat yang diutus oleh Mat Indera sendiri.
Gerila
Pada 1 Julai 1948, sekitar jam 7:00 petang, kira-kira 30 orang anggota gerila tiba di rumah JH. Jasman. Dalam kesemua anggota itu, hanya 3 orang saja yang berbangsa Melayu iaitu Ibrahim Bin Mohamed, Hussein dan Khalid. Kemudian, mereka dibawa masuk ke dalam hutan oleh Lim Sek.
Selepas sepuluh hari yang lain sampai di hutan, barulah Mat Indera tiba bersama tujuh kawannya yang lain seperti Karim Atan, Omar, Meon, Genim, Yat dan Abdul Rahman Ali sebagai kumpulan pertama yang terbentuk pada 5 Ramadhan tahun 1948.
Hasil perbincangan antara Mat Indera bersama JH. Jasman, Ibrahim Mohamed dan Abdul Kadir Mar’ie dan Lim Sek, mereka bersetuju untuk menubuhkan satu pasukan gerila Melayu.
Mimpi Ngeri Inggeris
Apabila Mat Indera menyertai PKM, kerajaan Inggeris menjadi lebih tertekan dan risau. Sehinggakan Inggeris terpaksa menawarkan hadiah sebanyak RM25,000 bagi sesiapa yang dapat menangkap Mat Indera. Tetapi Mat Indera tetap juga tidak berjaya ditangkap.
________________________________________________ SIRI TOKOH NUSANTARA: 1. Jose Rizal & Pemikirannya Perihal Masyarakat Filipina 2. HOS Tjokroaminoto: Guru Bangsa Nusantara 3. Tan Malaka: Perubahan Sosial Dalam Aksi Massa _____________________________
Beliau dilantik sebagai AJK sempadan Johor-Melaka Parti Komunis Malaya pada awal 1950’an. Ketika itu, beliau berperanan sebagai ketua di bahagian selatan yang merangkumi daerah Muar, Batu Pahat, Segamat dan Melaka.
Ketika itu, beliau menjadi antara orang yang paling dikehendaki Inggeris. Ada yang berjaya lari, ada yang berjaya ditangkap. Ada yang terima hukuman gantung, ada yang dibebaskan selamat.
Dalam Pemburuan
Semasa dalam pemburuan, Mat Indera memutuskan untuk bersembunyi di rumah adiknya, Isa di Teluk Belanga, Singapura. Kemudian, berpindah pula ke tempat lain. Beliau tidak pernah menetap di satu tempat dalam tempoh yang lama. Sejurus pemergian Mat Indera dari Singapura, masyarakat dan pemerintah dikejutkan dengan poster-poster yang bertampal berbunyi,
“Cari aku di Pagoh”
– Muhammadiah @ Mat Indera
Menurut adiknya, Baharom Shah, Mat Indera merupakan pengamal amalan tarekat Muhammadiah. Dalam masa yang sama, Muhammadiah juga merupakan sebuah pertubuhan sosial. Jika dilihat sejarah pergerakan tersebut, mereka merupakan satu pergerakan tarekat yang progresif. Dibangunkan oleh Kyai Ahmad Dahlan pada 18 November 1912.
Seluruh ahli keluarga Mat Indera disoal-siasat. Dari mak ayah, sampai datuk dan nenek. Mak ayah Mat Indera ketika itu terpaksa keluar masuk balai polis selang dua hari untuk sepanjang 8 bulan. Sehingga, ayah beliau dibuang negeri ke Singapura ditemani oleh anak-anaknya sehingga tahun 1956.
(Bersambung)
Bahagian terakhir, kisah tragedi Bukit Kepong dan bagaimana Mat Indera akhirnya kecundang di tangan penguasa, boleh dibaca pada pautan di bawah:
Tragedi Bukit Kepong & Mat Indera ke Tali Gantung
Rujukan:
Dr. Muhaimin Sulam. 2012. Mat Indera: Petualang atau Pejuang